PUTRAJAYA, 22 September - Harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 sebelum ini, berkuat kuasa 30 September melalui pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi BUDI95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penurunan harga itu merupakan penghargaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Kadar RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter mulai 30 September ini, sebagai penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan September 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Putrajaya, hari ini.
Sebagai penghargaan awal sebelum tarikh kuat kuasa, anggota polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter mulai Sabtu, 27 September 2025.
Manakala bagi bukan warganegara dan syarikat besar, mereka tidak layak menerima subsidi, dengan harga RON95 ditetapkan sekitar RM2.60 seliter mulai 30 September, bersamaan tarikh kuat kuasa bagi semua warganegara.
Subsidi berperingkat itu akan disalurkan kepada rakyat secara bertahap, bermula dengan anggota polis dan tentera pada 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, sebelum diperluaskan sepenuhnya kepada semua warganegara pada 30 September.
Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia layak menikmati subsidi bagi pembelian sehingga 300 liter RON95 sebulan, manakala pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon kuota tambahan.